Sunday 30 March 2014

KISAH TELADAN DARI KHALIFAH UMAR AL KHATTAB


"Seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar.

Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata: "Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.

Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"

Umar berkata kepadanya: "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.

"Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya.

"Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya."

Lelaki itu menjawab: "Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."

Umar pun berkata kepadanya: "Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."

Sunday 9 March 2014

Tenaga Nuklear Sebagai Penjana Tenaga Elektrik Negara


Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear sebagai penjana tenaga elektrik negara. Dengan itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah diminta mengenal pasti lokasi pembinaan loji nuklear negara pertama. Loji ini dijangka mula beroperasi pada tahun 2021. Tenaga nuklear dipilih kerana ia dianggap "effisien dan efektif" apatah lagi dalam keadaan dunia masa kini yang menunjukkan bahawa penggunaan petroleum dan arang batu untuk menjana elektrik negara sebagai tidak lagi sesuai kerana kenaikan harga kedua-dua sumber tersebut dan juga tekanan terhadap alam sekitar akibat penggunaan bahan api fosil tersebut.
Malah, di peringkat serantau juga, penggunaan tenaga nuklear semakin menjadi pilihan. Misalnya, negara Thailand, Vietnam dan Indonesia juga sudah mulai menuju ke arah penghasilan tenaga elektrik berasaskan tenaga nuklear. Thailand dijangkakan mula menggunakan tenaga nuklear menjelang tahun 2012, Vietnam pada tahun 2018 dan Indonesia pada tahun 2016. Berdasarkan perkembangan ini maka jelas bahawa penggunaan tenaga nuklear dalam penghasilan tenaga elektrik semakin mendapat perhatian.
Selanjutnya, bagi menjayakan rancangan penggunaan tenaga nuklear ini, Perdana Menteri Malaysia telah menjemput masyarakat awam untuk sama-sama menyumbangkan pandangan terhadap rancangan ini. Oleh itu sewajarnyalah masyarakat awam menyuarakan pandangan mereka terhadap rancangan penggunaan tenaga nuklear ini. Namun, sebelum memberikan pandangan, seeloknyalah mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang baik-buruk penggunaan tenaga nuklear.
Dari segi kebaikan, terdapat beberapa kelebihan penggunaan tenaga nuklear untuk menghasilkan elektrik. Antaranya, tenaga nuklear dikatakan dapat menjana tenaga dalam jumlah yang banyak dan pada satu jangka masa yang panjang berbanding penjanaan tenaga elektrik menggunakan bahan api fosil seperti petroleum dan arang batu. Ini kerana penggunaan bahan uranium (bahan utama logi tenaga nuklear) akan menghasilkan lebih banyak tenaga untuk jangkasama yang panjang. Dikatakan, satu tan uranium boleh menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding penggunaan beberapa million tan arang batu atau beberapa million barrel minyak. Keadaan ini pastinya merupakan satu berita baik kerana bahan api fosil semakin berkurangan.
Tenaga nuklear juga dikatakan sangat mesra alam. Penghasilan tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga nuklear tidak akan mencemarkan udara. Ini kerana logi tenaga nuklear tidak akan membebaskan gas-gas rumah hijau seperti karbon, methane, ozon dan CFC semasa beroperasi dan dengan itu tidak mencemarkan udara. Dalam hal ini, ia akan membantu mengurangkan kesan rumah hijau. Selain itu, pembinaan logi nuklear juga tidak memerlukan kawasan yang besar dan dalam jangka masa panjang, tenaga nuklear akan menghasilkan tenaga elektrik yang lebih murah kerana kos operasinya yang rendah. Ini pastinya satu berita baik kepada pengguna.
Di sebalik kelebihan tenaga nuklear ini, terdapat juga beberapa keburukan penggunaan tenaga nuklear. Antara keburukan tersebut ialah, tenaga nuklear boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan manusia. Ini kerana, tenaga nuklear menghasilkan radiasi. Radiasi ini sangat berbahaya kepada tubuh badan manusia kerana radiasi itu boleh merosakkan sel badan. Selain itu, bahan radioaktif yang terhasil daripada aktiviti penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga nuklear juga amat berbahaya dan kos menguruskannya juga amat tinggi. Bahan radioaktif ini, jika dilepaskan ke alam sekitar, akan bertahan untuk satu jangka masa yang lama sebelum ia mencecah tahap selamat kepada manusia. Tenaga nuklear bergantung kepada bahan uranium. Uranium dikategorikan sebagai bahan api tidak boleh diganti (non renewable energy) sama seperti petroleum dan arang batu. Walaupun buat masa ini, sumber uranium masih banyak tetapi ia juga akan berkurangan jika terus digunakan. Oleh itu, ia juga akan habis pada satu masa nanti.
Kekurangan lain yang juga sering dikaitkan dengan penggunaan tenaga nuklear ialah risiko kemalangan di loji tenaga nuklear. Jika kemalangan ini berlaku, masalahnya sangat besar dan kesannya akan mengambil masa yang panjang untuk hilang. Sebagai contoh, kemalangan reaktor nuklear di Chernobyl pada April 1986. Dikatakan bahawa, tragedi letupan reaktor nuklear ini merupakan yang terburuk dalam sejarah dunia. Letupan ini telah membebaskan 300 kali lebih bahan radioaktif berbanding peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima.
Radioaktif itu tersebar luas hingga ke bahagian Barat Kesatuan Soviet, Timur dan Barat Eropah, daerah-daerah Scandinavia, British Isles dan Timur Amerika Utara. Di samping itu, kontaminasi teruk berlaku di kawasan-kawasan Ukraine, Belarus, dan Rusia hingga memaksa lebih daripada 336,000 orang penduduk dipindahkan dari rumah-rumah mereka. Satu laporan yang disediakan oleh International Atomic Energy Agency (IAEA) and World Health Organization (WHO), menunjukkan bahawa berlaku 56 kematian serta-merta. Manakala, dianggarkan dalam 6.6 juta orang yang telah terdedah kepada radiasi letupan itu, 9000 daripadanya dijangkakan akan mati akibat pelbagai jenis penyakit kanser.
Akhir sekali, isu keselamatan. Logi nuklear berpotensi untuk disalahgunakan bagi tujuan keganasan. Sama ada keganasan berbentuk manipulasi bahan itu untuk tujuan tidak baik ataupun kemungkinan logi diserang atau diambil alih oleh pengganas. Dalam keadaan ini, kawalan keselamatan yang sangat ketat amat diperlukan.
Berdasarkan penjelasan ini, nyata bahawa terdapat banyak cabaran yang perlu diambil kira jika tenaga nuklear ingin digunakan. Walaupun penggunaan tenaga nuklear punya beberapa faedah, namun timbangan baik-buruknya harus dilakukan sebaik, seadil dan secara sangat terperinci agar implementasi rancangan ini tidak membawa mudarat sama ada kepada manusia mahupun alam secara keseluruhan.
Dalam pandangan hidup Islam, terdapat satu prinsip penting yang menyatakan bahawa "ditegah untuk membuat sesuatu usaha melainkan setelah mengenal syarat-syaratnya". Bagi menjelaskan lagi perkara ini Dr. Mohd Sani Badron dalam kertas kerja beliau yang bertajuk "Kewajipan Menguasai Sains: Fardu ‘Ayn-kah atau Fardu Kifayah?" menyebut bahawa "[satu] contoh yang pernah dikemukakan oleh al-Khawarizmi dalam Mubid al-Humum wa Mufid al-‘Ulum, ialah dicegah menjalankan perniagaan melainkan sesudah mempelajari kaifiat dan syarat-syarat mu'amalat bagi seseorang peniaga". Tambah beliau lagi "[hal] ini dilaksanakan Saidina Umar dalam sistem pendidikannya sehingga tiadalah berniaga di pasar kaum Muslim melainkan mereka yang memahami perniagaan berlandaskan Islam hingga tidak lagi keliru mengenai sebarang perkara yang boleh menerbitkan penindasan terhadap golongan pembeli seperti riba."
Dengan itu, secara mudahnya, dapat kita sebutkan bahawa, berdasarkan prinsip yang disebutkan di atas, setiap daripada kita adalah dilarang melakukan sesuatu melainkan kita telah benar-benar memiliki ilmu berkaitan dengan perkara yang ingin dilakukan itu. Sebagai contoh, jika kita ingin menjadi tukang jahit, maka sebelum menjadi tukang jahit, segala ilmu berkaitan dengannya wajiblah diperoleh terlebih dahulu sebelum memulakan kerjaya ini. Ketetapan ini sememangnya amatlah wajar bagi mengelakkan si tukang jahit merosakkan tempahan baju yang dihantar pelanggan. Samalah halnya dalam isu tenaga nuklear ini. Sebelum implementasi program ini hendak dilaksanakan maka segala bentuk maklumat tentang baik-buruknya untuk negara dan masyarakat Malaysia wajiblah dikaji sedalam-dalamnya.
Selain daripada prinsip yang disebutkan ini, di dalam al-Quran kita telah diingatkan bahawa, "...janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" (Surah al-Baqarah, 2:195). Dengan paparan ayat ini maka dapat kita simpulkan, dalam kes si tukang jahit sebentar tadi, bahawa jika tidak tahu ilmu jahitan, maka janganlah berani menceburkan diri dalam bidang itu. Ini kerana, kedegilan untuk menceburi bidang itu akan menyebabkan si tukang jahit ditimpa malang kerana mungkin dimarahi pelanggan kerana gagal menyiapkan tempahan atau merosakkan tempahan yang dihantar. Bukankah ini hanya membinasakan diri si tukang jahit tersebut? Dalam isu tenaga nuklear ini pula, jika kemudaratan program ini jelas maka seeloknyalah ia ditangguh atau dicari alternatif yang lain.
Berkaitan dengan alternatif, sememangnya terdapat alternatif atau pilihan lain dalam menghasilkan tenaga elektrik. Sebagai contoh, tenaga yang dinamakan sebagai tenaga gantian. Amnya, tenaga gantian ini membawa maksud sumber tenaga yang tidak berasaskan pembakaran bahan fosil atau pemecahan atom. Sekurang-kurangnya terdapat lima bentuk tenaga gantian dalam dunia. Tenaga tersebut adalah tenaga suria, angin, geotermal, ombak dan hidroelektrik. Tenaga gantian ini juga dikenali sebagai tenaga hijau iaitu melibatkan manipulasi alam untuk menjana tenaga elektrik.
Bagi menggantikan tenaga nuklear, sebaik mungkin dijalankan kajian untuk melihat kebolehgunaan tenaga gantian ini sebagai tenaga penjana elektrik negara. Jika ini berjaya dilakukan maka barulah boleh diakui "Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau." Jika usaha, tenaga dan wang ringgit boleh digunakan untuk mengkaji kebolehgunaan tenaga nuklear maka usaha, tenaga dan wang ringgit yang sama juga seharusnya ditumpahkan untuk menghasilkan tenaga hijau. Ini kerana, sebagaimana petroleum dan arang batu boleh mencapai tahap sukar didapati (scarce) maka begitu jugalah uranium pada satu masa nanti. Oleh itu, hendak atau tidak, akan tiba masanya manusia terpaksa bergantung kepata tenaga gantian. Jadi, kenapa tunggu nanti? Usaha ke arah itu seharusnya dilaksanakan sekarang!