Sunday 28 April 2013




REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO
            Refleksi merupakan salah satu langkah yang sangat penting yang perlu dilakukan guru setiap kali selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Refleksi merupakan aktiviti mengkaji semula proses keberkesanan pengajaran yang telah dilakukan melalui renungan kendiri dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran seseorang guru. Refleksi kendiri menitikberatkan penerokaan ‘domain affective’ (emosional mind), spiritual dan pemikiran seseorang dalam tindakannya mencari kebenaran terhadap ilmu yang dipelajari. Proses refleksi perlu dilakukan sebaik sahaja sesuatu pengajaran dan catatan mesti dibuat pada ruang refleksi dalam buku persediaan.
Dalam melaksanakan Tugasan SCE 3108 MERANCANG UNTUK MENGAJAR SAINS SEKOLAH RENDAH, saya telah ditugaskan untuk melaksanakan pengajaran mikro. Saya telah meminta bantuan rakan sejawatan untuk mengambil bahagian sebagai murid dalam pengajaran mikro yang dijalankan. Saya telah memilih set refleksi dalam menyiapkan tugasan pengajaran mikro tersebut. Sepanjang tempoh pelaksanaan pengajaran mikro Sains  - topik Haiwan dan Tumbuhan Melindungi Diri, yang telah dilakukan, saya mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kekuatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut.
              Disini terdapat beberapa kekuatan pengajaran yang saya laksanakan seperti penggunaan gambar bersiri dapat merangsang murid-murid untuk berfikir dan cuba membuat andaian. Ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran berfikir murid secara kritis. Selain itu, gambar yang ditunjukkan juga bersesuaian dengan isi pelajaran yang hendak diajar. Namun demikian, saya boleh menambahkan lagi daya tarikan dan minat murid sekiranya gambar yang ditunjukkan digantikan dengan kad yang boleh membuat aktiviti haiwan tersebut. Ini lebih membantu murid terutamanya yang lemah untuk lebih faham sekiranya dibuat dalam bentuk audio dan visual dan menampakkan situasi yang lebih nyata.
            Kekuatan saya pada pengajaran ini juga dari segi memberi kata-kata pujian kepada murid-murid setiap kali mereka dapat menjawab dengan tepat. Dengan ini dapat membentuk keyakinan murid-murid untuk turut serta pengajaran yang seterusnya.
                         Selain daripada itu, penggunaan kad perkataan juga dapat membantu murid untuk
mengingat semula pelajaran yang sudah dipelajari. Dengan penyediaan kad perkataan yang berwarna boleh menarik minat murid untuk menumpukan perhatian mereka semasa membacakan kad-kad perkataan tersebut. Sebagai meningkatkan lagi mutu pengajaran, saya boleh menggunakan gambar atau nyanyian untuk memberikan lebih keseronokan bagi menggantikan penggunaan kad perkataan.
Namun begitu, pada masa yang sama juga terdapat pelbagai kelemahan yang harus saya perbaiki pada masa akan datang seperti saya mendapati tempoh masa yang diambil terlalu panjang dan  melebihi masa yang dirancang. Dalam perancangan sepatutnya saya melaksanakan refleksi itu selama lima minit tetapi ia telah dijalankan hampir sepuluh minit. Sebagai tindakan susulan untuk memperbaiki pengajaran, saya perlu bijak menguruskan masa dan merancang refleksi agar tidak mengambil masa yang terlalu lama.
Selain itu, saya juga agak terlalu cepat penyampaian  mengaitkan refleksi yang dilaksanakan dengan isi atau tajuk pelajaran yang hendak diajar. Ini menjadikan pelaksanaan pengajaran mikro menjadi gopoh dan membuatkan para pelajar mungkin tertanya-tanya akan pelajaran yang dipelajari. Dengan demikian, saya perlulah memperbaiki pengajaran supaya lebih tahu tempoh masa yang sesuai untuk mengaitkan isi pelajaran.
Penggunaan gambar bersiri sebagai bahan bantu pengajaran juga agak mengelirukan sehingga menyebabkan pelajar memberikan jawapan atau maklum balas yang kurang tepat. Sya menyatakan demikian kerana saya sendiri mendapati kad-kad yang disediakan mempunyai pelbagai jawapan sama dengan keadaan isi pelajaran. Sebagai tindakan susulan saya haruslah menyediakan bahan bantu mengajar terutamanya gambar yang lebih jelas dan pelbagai jenis binatang agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
            Di samping itu, penggunaan alat bantu mengajar yang terlalu banyak juga boleh mengganggu kelancaran pelaksanaan refleksi  sehingga menjejaskan pengurusan masa yang ditetapkan. Justeru itu, saya seharusnya menggunakan bahan yang bersesuaian dan tidak terlalu banyak agar masa dapat dihadkan dan menjadikan pelaksanaan refleksi lebih lancar.
           Melalui refleksi yang dibuat, saya dapat menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan dalam pengajaran mikro. Di samping itu, saya juga dapat memperbaiki setiap kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang dirancang akan dapat dicapai.
          Kepelbagaian bahan bantu mengajar sememangnya banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran saya. Namun begitu, sekiranya saya bijak dan mahir mempelbagaikan bahan bantu pengajaran dengan penggunaan pelbagai media yang lebih canggih terutamanya pengaplikasian teknologi, proses pengajaran dan pembelajaran saya akan menjadi lebih menyeronokkan dan dapat meningkatkan minat serta tumpuan murid.