Sunday 28 April 2013




REFLEKSI PENGAJARAN MIKRO
            Refleksi merupakan salah satu langkah yang sangat penting yang perlu dilakukan guru setiap kali selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Refleksi merupakan aktiviti mengkaji semula proses keberkesanan pengajaran yang telah dilakukan melalui renungan kendiri dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran seseorang guru. Refleksi kendiri menitikberatkan penerokaan ‘domain affective’ (emosional mind), spiritual dan pemikiran seseorang dalam tindakannya mencari kebenaran terhadap ilmu yang dipelajari. Proses refleksi perlu dilakukan sebaik sahaja sesuatu pengajaran dan catatan mesti dibuat pada ruang refleksi dalam buku persediaan.
Dalam melaksanakan Tugasan SCE 3108 MERANCANG UNTUK MENGAJAR SAINS SEKOLAH RENDAH, saya telah ditugaskan untuk melaksanakan pengajaran mikro. Saya telah meminta bantuan rakan sejawatan untuk mengambil bahagian sebagai murid dalam pengajaran mikro yang dijalankan. Saya telah memilih set refleksi dalam menyiapkan tugasan pengajaran mikro tersebut. Sepanjang tempoh pelaksanaan pengajaran mikro Sains  - topik Haiwan dan Tumbuhan Melindungi Diri, yang telah dilakukan, saya mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kekuatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut.
              Disini terdapat beberapa kekuatan pengajaran yang saya laksanakan seperti penggunaan gambar bersiri dapat merangsang murid-murid untuk berfikir dan cuba membuat andaian. Ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran berfikir murid secara kritis. Selain itu, gambar yang ditunjukkan juga bersesuaian dengan isi pelajaran yang hendak diajar. Namun demikian, saya boleh menambahkan lagi daya tarikan dan minat murid sekiranya gambar yang ditunjukkan digantikan dengan kad yang boleh membuat aktiviti haiwan tersebut. Ini lebih membantu murid terutamanya yang lemah untuk lebih faham sekiranya dibuat dalam bentuk audio dan visual dan menampakkan situasi yang lebih nyata.
            Kekuatan saya pada pengajaran ini juga dari segi memberi kata-kata pujian kepada murid-murid setiap kali mereka dapat menjawab dengan tepat. Dengan ini dapat membentuk keyakinan murid-murid untuk turut serta pengajaran yang seterusnya.
                         Selain daripada itu, penggunaan kad perkataan juga dapat membantu murid untuk
mengingat semula pelajaran yang sudah dipelajari. Dengan penyediaan kad perkataan yang berwarna boleh menarik minat murid untuk menumpukan perhatian mereka semasa membacakan kad-kad perkataan tersebut. Sebagai meningkatkan lagi mutu pengajaran, saya boleh menggunakan gambar atau nyanyian untuk memberikan lebih keseronokan bagi menggantikan penggunaan kad perkataan.
Namun begitu, pada masa yang sama juga terdapat pelbagai kelemahan yang harus saya perbaiki pada masa akan datang seperti saya mendapati tempoh masa yang diambil terlalu panjang dan  melebihi masa yang dirancang. Dalam perancangan sepatutnya saya melaksanakan refleksi itu selama lima minit tetapi ia telah dijalankan hampir sepuluh minit. Sebagai tindakan susulan untuk memperbaiki pengajaran, saya perlu bijak menguruskan masa dan merancang refleksi agar tidak mengambil masa yang terlalu lama.
Selain itu, saya juga agak terlalu cepat penyampaian  mengaitkan refleksi yang dilaksanakan dengan isi atau tajuk pelajaran yang hendak diajar. Ini menjadikan pelaksanaan pengajaran mikro menjadi gopoh dan membuatkan para pelajar mungkin tertanya-tanya akan pelajaran yang dipelajari. Dengan demikian, saya perlulah memperbaiki pengajaran supaya lebih tahu tempoh masa yang sesuai untuk mengaitkan isi pelajaran.
Penggunaan gambar bersiri sebagai bahan bantu pengajaran juga agak mengelirukan sehingga menyebabkan pelajar memberikan jawapan atau maklum balas yang kurang tepat. Sya menyatakan demikian kerana saya sendiri mendapati kad-kad yang disediakan mempunyai pelbagai jawapan sama dengan keadaan isi pelajaran. Sebagai tindakan susulan saya haruslah menyediakan bahan bantu mengajar terutamanya gambar yang lebih jelas dan pelbagai jenis binatang agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
            Di samping itu, penggunaan alat bantu mengajar yang terlalu banyak juga boleh mengganggu kelancaran pelaksanaan refleksi  sehingga menjejaskan pengurusan masa yang ditetapkan. Justeru itu, saya seharusnya menggunakan bahan yang bersesuaian dan tidak terlalu banyak agar masa dapat dihadkan dan menjadikan pelaksanaan refleksi lebih lancar.
           Melalui refleksi yang dibuat, saya dapat menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan dalam pengajaran mikro. Di samping itu, saya juga dapat memperbaiki setiap kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang dirancang akan dapat dicapai.
          Kepelbagaian bahan bantu mengajar sememangnya banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran saya. Namun begitu, sekiranya saya bijak dan mahir mempelbagaikan bahan bantu pengajaran dengan penggunaan pelbagai media yang lebih canggih terutamanya pengaplikasian teknologi, proses pengajaran dan pembelajaran saya akan menjadi lebih menyeronokkan dan dapat meningkatkan minat serta tumpuan murid.

Monday 11 February 2013

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)



Modul PBL - pembelajaran berasaskan masalah adalah merupakan satu pendekatan pembelajaran yang digunakan bersandarkan kepada penyelesaian masalah yang akan diberikan oleh pensuarah kepada pelajar. Permasalahan yang akan diberi kepada pelajar akan dirangka dan dirancang terlebih dahulu agar setiap strategi yang diambil oleh pelajar untuk menyelesaikan masalah tersebut akan dapat meliputi keseluruhan kurikulum yang ada. Pembelajaran berasaskan masalah adalah disokong oleh konsep pembelajaran secara kendiri bagi memudahkan para pensyarah dan pelajar melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan dan efaktif. Pembelajaran berasaskan masalah adalah merangkumi cabaran kepada keadaan penyelesaian masalah sebenar berkaitan topik yang dibincangkan, melibatkan peggunaan akal dan fikiran yang kritikal dan sepenuhnya, kemahiran meyelesaikan pemasalahan yang berkaitan, memenuhi keperluan dan disiplin kerja atau tugasan, pembelajaran yang kendiri, gerak kerja berpasukan dan menguasai kemahiran komunikasi, serta bertanggungjawab dan gigih dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan.

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Seperti yang diketahui umum, sistem pendidikan di Malaysia adalah berorentasikan peperiksaan iaitu pelajar wajib menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lazimnya digunakan ialah kaedah kuliah iaitu pembelajaran berpusatkan guru. Hasil dari pembelajaran kaedah pengajaran secara kuliah didapati masih terdapat kelemahan dalam melahirkan graduan yang menguasai kemahiran generik walaupun pencapaian akademik yang terbaik (Hasyamudin dan Rahifa, 2005).

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dalam kenyataan akhbar, menyatakan bahawa beliau mahu melihat perubahan dalam corak pendidikan agar melahirkan pelajar yang berani, mempunyai kemahiran dan berpengetahuan (Hasyamudin dan Rahifa, 2005).

Oleh hal yang demikian, para pendidik perlu mengorak langkah bagi membaiki dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya ianya seiring dengan teknologi terkini dan perkembangan semasa. Menjadi tanggungjawab pendidik untuk menggunakan dan mempelbagaikan kaedah P&P bagi melahirkan pelajar yang berkualiti. Antara kaedah P&P yang digunapakai ialah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) yang merupakan salah satu contoh yang baik untuk proses pembelajaran secara pengalaman dan pendekatan berpusatkan pelajar. Di mana dalam kaedah PBL, pelajar akan berusaha untuk mencari maklumat dan menyelesaikan masalah dengan usaha sendiri. Proses tersebut akan menggalakan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif (KUiTTHO, 2005).

Diperkukuhkan lagi apabila Lynda Wee (2004) menyatakan bahawa PBL adalah satu pendekatan pemusatan pelajar yang merupakan pendekatan yang efektif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, menggalakan penglibatan aktif, bekerjasama, maklum balas yang cepat terhadap proses pembelajaran, pemahaman yang mendalam terhadap subjek dan merujuk kesesuaian pembelajaran pelajar melalui pembelajaran kendiri.


Sejarah PBL

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mula diperkenalkan dalam pembelajaran tradisional sekitar tahun 1960-an di McMaster University, Canada (Barrow & Tamblyn, 1980). Merujuk kepada buletin KUiTTHO (2005), kaedah ini diperkenalkan oleh Professor Howard Barrow. Pada mulanya, kaedah ini ditolak oleh semua orang. Namun begitu, beliau menggunakan kaedah ini kepada pelajar perubatan di bawah seliaannya dan mendapat reaksi yang positif di kalangan pelajar tersebut. Pendekatan ini telah membuka mata dan menarik minat para pendidik yang lain untuk menggunakannya. Kesannya, pendekatan ini telah digunapakai dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bilang kejuruteraan. Kini, Professor Barrow menjadi role model bagi PBL dan Universiti McMaster menjadi perintis kepada PBL. Selain itu, Don Wood merupakan bapa kepada PBL dalam bidang kimia. Beliau juga dari Universiti McMaster.


Objektif PBL

Menurut Barrow & Tamblyn (1980), antara objekif pendidikan kaedah ini diperkenalkan ialah:
a) Mengukuhkan kemahiran pelajar untuk mempelajari sesuatu prinsip, konsep dan belajar menggunakan maklumat dalam pelbagai situasi.
b) Memperkembangkan kemahiran pelajar memberi hujah dan pendapat, berfikiran kritis, serta kemahiran membuat keputusan.
c) Memperkembangkan kemahiran pelajar mengintegrasikan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu dan kefahaman yang baik tentang peranan sikap kemanusian terhadap kemajuan profesionalisme.
d) Menyediakan pelajar kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat.
e) Menggalakkan pembelajaran kumpulan kecil, keperluan kepada keberkesanan kerja berpasukan dan pembelajaran secara kolaboratif
(Barrow & Tamblyn dipetik daripada Suhaimi Makminin, 2005)


Ciri-ciri PBL

Definisi awal PBL memperkenalkan Model Klasik oleh Barrow dan Tamblyn, 1980 yang dinyatakan dalam penulisan Baden dan Mojor (2004) yang mempunyai ciri-ciri seperti:
a) Situasi masalah sebenar yang kompleks iaitu tidak mempunyai jawapan yang betul atau salah,
b) Pelajar bekerja dalam kumpulan untuk menangani masalah, mengenalpasti jurang pembelajaran dan mengembangkan pelbagai penyelesaian,
c) Pelajar memperolehi informasi baru melalui pembelajaran kendiri,
d) Pensyarah sebagai pembimbing,
e) Masalah akan memandu ke arah perkembangan keupayaan penyelesaian masalah ilmu perubatan.

Perlaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Menurut Lynda Wee (2004), terdapat tujuh langkah dalam menerangkan proses PBL. Langkah-langkah tersebut ialah seperti berikut:

a) Pembahagian Kumpulan

Pada peringkat ini, pelajar akan mengenali di antara satu sama lain dan pelajar akan membentuk kumpulan masing-masing. Seterusnya, ketua kumpulan dan pencatat akan dilantik dan peraturan-peraturan kumpulan akan dibentuk.

b) Mengenalpasti Masalah

Pelajar akan dikemukakan dengan masalah untuk diselesaikan. Pelajar perlu mengenalpasti dan mengesahkan masalah tersebut dan menyatakan masalah tersebut berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi. Proses mengenalpasti masalah melibatkan elemen-elemen pencetus idea terhadap masalah yang ingin dikaji, juga dikenali sebagai trigger. Trigger boleh didapati dalam bentuk gambar, petikan surat khabar, klip video, petikan jurnal dan juga kejadian sebenar yang berlaku. Trigger ini akan menyebabkan sesuatu isu dipersoalkan, diperdebatkan dan memberi petunjuk kepada penyelesaian masalah tersebut.

c) Menjana Idea

Pada peringkat ini, pelajar akan mengeluarkan idea-idea yang dapat membantu dalam proses penyelesaian masalah tersebut.

d) Isu Pelajaran

Pelajar perlu mengenalpasti apakah yang perlu dipelajari dan mencari isu-isu yang dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah serta mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan mengenalpasti tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

e) Pembelajaran Kendiri

Pada peringkat ini, pelajar akan mencari dan merumuskan informasi-informasi yang relevan dan logik dengan masalah yang diberikan.

f) Sintesis dan Aplikasi

Punca-punca informasi perlu disahkan kesahihannya terutamanya daripada Internet. Pelajar akan mula berkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan membuat penerangan terhadap penyelesaian yang diambil.

g) Refleksi dan Tindak Balas

Pada peringkat ini, pelajar akan memberi tindak balas terhadap kerja kumpulan, kerja individu, penjanaan pengetahuan, penyelesaian masalah dan juga peranan fasilitator. Seterusnya, perbincangan akan dilakukan dalam kumpulan masing-masing.

Ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran yang paling diperlukan ialah kemahiran menyelesaikan masalah. Diperkukuhkan lagi apabila Nor Ratna Masrom (2006) telah membuat kajian yang bertajuk "Problem Solving Skill in ICT and Multimedia Application” mendapati bahawa tanpa pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah, pelajar tidak mampu untuk melaksanakan dan mengaplikasikan kaedah PBL dengan sempurna dan cekap.


Proses Menyelesaikan Masalah

Menurut George Polya (1957), sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui empat langkah penyelesaian iaitu:
a) Memahami masalah iaitu menentukan apa yang hendak diselesaikan dan maklumat yang berkaitan dengannya;
b) Menyediakan rancangan penyelesaian iaitu mencari perkaitan antara maklumat yang diberi dengan penyelesaian;
c) Melaksanakan rancangan iaitu melaksanakan apa yang dirancang dengan teliti, langkah demi langkah; dan
d) Menyemak jawapan iaitu menyemak ketepatan dan kesesuian hasil penyelesaian dengan apa yang hendak diselesaikan.
(Widad Othman, et al, 2003)

Menurut Razihan Abdul Jalil (2001) kaedah penyelesaian masalah merupakan salah satu kaedah yang dapat melibatkan aktiviti pelajar mencari maklumat untuk menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka di samping memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman dan kemahiran (Mohd Khairuddin Abdul Karim, 2005). Berdasarkan Smith (1997) dan Edward dan Monika (1995) terdapat lima proses untuk menyelesaikan masalah. Proses-proses tersebut ialah:

a) Mengenalpasti Masalah

Pada peringkat ini, pelajar akan diberikan masalah untuk diselesaikan. Tugas pelajar adalah untuk mengenalpasti masalah yang diberi dan menjadikan masalah tersebut sebagai persoalan yang perlu diselesaikan. Kemudian, pelajar perlu membuat rumusan berdasarkan objektif masalah dan mengenalpasti sumber-sumber yang perlu digunakan untuk memperolehi maklumat yang benar, relevan dan penting untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, pelajar perlu merancangan kaedah penyelesaian dari peringkat awal sehingga permasalahan tersebut dapat diselesaikan dengan sempurna. Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan, pada mulanya masalah dikenalpasti daripada segi struktur masalah dan dibuat definisi. Definisi yang tepat membantu pemahaman bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memilih alternatif penyelesaian masalah yang tepat.

b) Menganalisis Masalah dan Mengumpulkan data

Pelajar perlu mengumpul data dan membuat penganalisian terhadap maklumat yang diperolehi. Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan terdapat pelbagai teknik pengumpulan data. Contohnya, gambar rajah tulang (analysis: couse dan effect), carta pareto, carta pai, carta aliran dan lain-lain.

Proses menganalisis masalah ini diperlukan bagi mengembangkan pemikiran dan mempertimbangkan semua kemungkinan. Objektif bagi peringkat ini adalah mencari punca masalah tersebut berlaku. Menurut Kirby, Gary R, dan Goodpaster, Jeffery. R (2002), sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan sehinggalah punca masalah tersebut ditemui. Beberapa persoalan perlu ditanya sama ada apa, di mana, bila, siapa dan bagaimana masalah itu berlaku. Masalah dianalisis daripada pelbagai sudut seperti ataupun kepentingan masalah, pengalaman diri, tindak balas pihak lain, kos masalah, lokasi berlaku masalah, perbandingan dengan masalah lain dan sebagainya ( Mohd Azhar Abdul Hamid, 2003).

Pada peringkat ini, pelajar boleh mengsahkan kesahihan maklumat yang diperolehi dan mampu mengenalpasti penyarah yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain itu, pelajar mampu mencari punca utama masalah tersebut. Pelajar juga perlu berbincang dan berkongsi maklumat dangan ahli kumpulan yang lain serta perlu mamastikan sama ada maklumat yang dikumpulkan mencukupi ataupun tidak.

c) Membuat Keputusan

Pelajar perlu membuat pemilihan penyelesaian masalah dengan tepat dan pastikan penyelesaian yang dibuat merupakan penyelesaian yang terbaik. Disamping itu, pelajar perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk menyokong penyelesaian yang diambil. Pemilihan penyelesaian ini dijana dengan menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan idea yang diperolehi berkualiti. Menurut Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan bahawa salah satu kaedah mencari penyelesaian adalah brainstorming. De Janasz, et al (2002), kaedah ini mengundang banyak ideea untuk menyelesaikan masalah kerana kaedah ini merupakan salah satu teknik di mana ramai orang dari satu kumpulan berkongsi idea terhadap suatu perkara tanpa mengkritik. Ini adalah supaya perbincangan terbuka di dalam kumpulan tersebut digalakkan bagi menghasilkan idea kreatif. Kaedah ini sesuai digunakan bagi masalah kumpulan.

d) Mengenalpasti Penyelesaian yang Terbaik

Kini, pemusatan pemikiran diperlukan bagi menilai, membanding dan menjalankan percubaan melaksanakan jalan penyelesaian (Mohd Azhar Abdul Hamid, 2003). Pada peringkat ini, pelajar perlu merancang bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan sewajarnya. Ini kerana, faktor paling penting dalam penilaian adalah kesan kepada jalan penyelesaian. Kesan ini terdiri daripada kesan posivif dan negatif. Oleh itu, pertimbangan yang teliti amat diperlukan bagi memastikan keputusan yang dipilih mempunyai kelebihan dan memberi manfaat kepada ahli kumpulan yang lain. Selain itu, pelajar seharusnya mampu untuk memastikan keputusan yang dipilih boleh mengembangkan atau menghadkan penyelesaian masalah serta keputusan yang dipilih merupakan alternatif yang terbaik.

e) Melaksanakan Keputusan

Mohd Azhar Abdul Hamid (2003) menyatakan bahawa keempat-empat peringkat di atas hanya terkandung dalam peringkat perancangan. Selepas penentuan alternatif jalan penyelesaian, ianya perlu dilaksanakan dengan teknik yang betul dan tepat. Ini juga membantu penyelesaian masalah bagi mengorganisasikan proses pelaksanaan dan menguji sama ada hasil yang dijangka dapat dijana atau tidak.


Kelebihan PBL

Menurut Montgomery (2000), antara kelebihan utama PBL berbanding strategi pembelajaran lain yang dicadangkan oleh teori konstruktivisme ialah rangsangan atau stimulasi yang berjaya dihasilkan olehnya dalam membentuk kognitif pelajar agar lebih bersifat ingin tahu. Ini seterusnya menurut mereka berjaya meningkatkan minat atau motivasi pelajar untuk terus belajar. Masalah yang menyerupai masalah dunia sebenar yang digunakan pula membolehkan pelajar mencuba pelbagai jalan penyelesaian dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat (Jamalludin Harun, et al, 2005).

Prof Madya Dr Khairiyah Mohd Yusof di dalam Berita Harian 25 Jan 2007, menyatakan keinginan menyelesaikan masalah mendorong pelajar melaksanakan pembelajaran kendiri dan pengajaran antara rakan sebaya (peer teaching) dalam kumpulan dan antara kumpulan. Pelajar yang melalui PBL dapat membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Tse dan Chan, (2003) menyatakan bahawa kaedah PBL sangat berkesan dalam meningkatkan pemahaman dan pengetahuan teknikal pelajar. Melalui kaedah ini, setiap pelajar diberi banyak peluang untuk mempraktikan teknik pembelajaran kendiri yang merupakan elemen penting dalam menentukan kerjaya masa depan mereka. Selain itu, kebolehupayaan pembelajaran pelajar dapat ditingkatkan melalui kerjasama dalam kumpulan yang diamalkan untuk subjek kejuruteraan.

Secara amnya, jelas membuktikan bahawa Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) mampu untuk melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar dapat meningkatkan minat dan motivasi untuk terus belajar, membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Oleh hal demikian, pelajar dapat meningkatkan pemahaman dan pengetahuan isi pelajaran bagi sesuatu matapelajaran dengan mudah dan mendalam. Secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar tersebut. Penyataan ini disokong dengan kajian yang dilakukan oleh Ward dan Lee (2004) menyatakan bahawa pelajar yang mengikuti kaedah PBL dapat memahami isi pelajaran dengan lebih mendalam bagi matapelajaran Teknologi Makanan dan Nutrisi.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa kaedah PBL mampu meningkatkan kemahiran generik para pelajar terutamanya dalam kemahiran menyelesaikan masalah. Kenyataan ini disokong oleh Hasyamuddin dan Rahifa (2005) bertajuk “Kemahiran Generik Dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) di Kalangan Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) mendapati bahawa PBL membantu pelajar dalam memperolehi kemahiran generik dan penglibatan aktif dalam kelas berbanding pelajar yang menggunakan kaedah kuliah.


Kesimpulan

Kesimpulannya, kaedah PBL banyak menekankan dan menitikberatkan cara pelajar menganalisis masalah dan menyelesaikannya. Kemahiran ini adalah penting bagi melahirkan dan mendidik bakal-bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan berkeyakinan dalam menyelesaikan masalah dan mampu untuk membuat keputusan yang tepat dan adil. Secara amnya, kaedah PBL boleh dijadikan salah satu pendekatan dan latihan yang berkesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jati diri yang kuat, berwawasan tinggi, mengamalkan cara komunikasi yang betul, dan berkemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan tepat. Ciri-ciri tersebut merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin yang disenangi dan disukai oleh pengikut-pengikutnya. Oleh hal yang demikian, orang-orang yang dipimpin akan lebih menghormati dan berasa selamat di bawah jagaannya.


Rujukan

Ainon Mohd. (2003). ” Teori dan Teknik Kepimpinan Panduan Aplikasi di Tempat Kerja”. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd: Pahang.
Baden, M.S & Major, C.H. (2004).”Foundation of Problem-Based Learning”. USA: Mc Graw Hill Education.
Berita Harian 25 Jan 2007. “Pembelajaran Berpasukan Bentuk Kemahiran Insan”. Oleh Muhammad Amir.
Borrows, H.S., (1996). “Problem Based Learning in Medician and Beyond: A Brief Overview dalam Wilkerson, L.A and Gijselaers W.H. Bringing Problem Based Learning to Higher Education: Theory and Practice”. San Francisco: Jossey Bass Publishers. 3-12
De Janasz, Suzanne, C. et al (2002). “ Interpersonal Skill in Organization”. USA: Mc Graw Hill.
Edward, L., Monika, L. (1995). “Creative Problem Solving: Thinking Skill for A
Changing Wold”. USA: Mc Graw Hill
Hasyamudin Othman dan Rahifa Mustafa. (2005). Kertas Kerja Perbentangan “Kemahiran Generik dalam Kelas Bercirikan Pembelajaran Berasaskan-Masalah (PBL) di Kalangan Pelajar Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein ONN (KUiTTHO)”.
Kirby, Gary, R. & Goodpaster, Jeffery, R. (2002). “Thinking”. USA: Prentice Hall.
Koonts dan O’Donnel. (1976).”Management: A system and Contigency Analysis of Managerial Functions”. Mc Graw Hill: New York, Vol 6.

Saturday 5 January 2013

IBUBAPA ZAMAN SEKARANG

aku sebenar terpanggil nak menulis blog berkenaan ibubapa masa sekarang ni lama dah....tapi aku suka kaitkan dalam rumah dengan tempat anak2 bersekolah.

Dari segi penampilan....
Rambut tak digunting .Mana ada stails kalu tak simpan ekor kura kat belakang. Ibubapa suka kalau dari kecik dah pandai simpan ekor kura konon2ya anak akan jadi perhatian di mana2. Sebenarnya salah .........orang meluat tengok anak2 kecik lagi ( berusia 3-6 tahun ) dah dilatih menjadi TAK ELOK. taktaulah kalau orang lain bersetuju.

Kat leher lelaki pulak letak rantai mcm rantai ............. apalah nak jadi. mak bapak zaman sekarang. nak tegur nanti kata yang tak ikut peredaran zaman la....mengacau.....ada yang ajak bergaduh pun ada.

MEMANG TAK SESUAIKAN KALAU ANAK-ANAK 3-6 TAHUN DAH JADI MACAM NI.